Bucu Kain
Kain lembut pelbagai corak
Awan larat berbulu merak
Pelbagai warna sukar diletak
Memukau mata hingga terbeliak
Pakaian suri setiap waktu
Hiasan seri untuk bertemu
Cantik dibuat lilit tandu
Untuk dara di kala tak tentu.
Bucu kain untuk dara
Bucu kain untuk teruna
Bucu kain untuk ayahanda
Bucu kain untuk bonda
Tajamnya tidak seberapa
Ada seni dan patang larangnya
Bucu kain buat si dara
Menutup aurat maruah berjuta
Dipakai labuh untuk bergaya
Bukan disingsing ke pangkal paha
Bucu kain buat teruna
Tanda rajin kuat usaha
Dipakai semutar berlilit kepala
Untuk menahan sinar cahaya
Mengesat peluh tiada dikira
Tanda ayahanda kuat bekerja
Untuk menyara semua
Teruna, dara, dan bonda
Kepala dalam keluarga
Bucu kain ayahanda basah selalu
Mengesat peluh setiap waktu
Seperti tidak terpisah dari bahu
Mengenang anak meminta susu
Bucu kain buat bonda,
Penuh kasih tinggi menggunung
Di buat buai mendodoikan putera
Di sekang buluh tanpa berbuku
Bucu kain buat bonda
Siang malam mengesat air mata
Di kala anak jadi Tanggang derhaka
Ibu berdoa selamat sejahtera
Bucu kain dulang pinangan
Hadiah untuk menantu cantik jelita
Walau di hati sedikit terluka
Menurut kehendak teruna dan dara
Bucu kain buat bonda
Hadiah terakhir untuk semua
Di kala kembali ke alam baka
Wasiat terakhir untuk keluarga
Awan larat dan burung merak
Sentiasa segak tidak berganjak
Membawa makna setiap gerak
Hanya berfikir atau tidak
Damak09
Ipoh.
12/12/2005